Wednesday, 1 January 2014

WARIS MASA HADAPAN.

Faris, Mia dan Annisa
Buat semua buah hati mak long, selamat tahun baru dan teruskan melangkah wahai anak-anak ku. Hadapilah tahun baru ini dengan senyuman dan permudahkan urusan kedua-dua ibu bapamu.Sedarlah anak-anak buahku, ibu bapamu sedaya upaya mencuba menyediakan keperluanmu dalam lelah dengan bebanan barang keperluan yang semakin hari semakin membebankan. Namun percayalah, sedikit pengertian darimu merupakan penawar paling mujarab buat mereka. Sedekahkan Al-Fatihah setiap hari buat mereka. Jangan lupa doakan mereka lewat solatmu, doakan keduanya sentiasa dalam peliharaan Allah yer sayang. Moga lelah membesarkanmu menjadi kenangan indah buat keduanya lewat usia tua mereka.

Kamu semua makin meningkat dewasa, sudah perlu bersolat dan menutup aurat sayang. Jagalah auratmu sebaiknya, Kedua ibu bapamu akan dipersoalkan tentang auratmu nanti. Sayangkan abah dan mak kan Faris? Mia dan Annisa pun sayangkan Mummy dan Abah kan? Jaga air muka mereka. Maruah mereka. Pendek kata, jadi anak yang soleh. Pesanan ini juga buat mak long. Mak long lagilah perlu jaga aurat dan tutur kata serta tingkah, mak long tak mahu bebankan Tok Su dan Wan Busu dengan dosa yang mak long buat. Kesian dengan mereka berdua yang mahu tanggung dosa anak-anak yang tak jaga aurat dengan betul.

Ingat yer anak-anak buah mak long, Ustaz Azhar Idrus ada kata dalam ceramahnya; 

"Aurat ini simbol maruah, kita jaga aurat bermakna kita jaga maruah kita. Kalau tak jaga aurat, bermakna kita buka aib kita. Kalau di usia muda, kita jaga aurat kita, Insya Allah, Allah tolong jaga aurat kita di mana kita dalam keadaan yang tidak mampu nak jaga aurat kita nanti."

Jantung hati mak long, 

 Belajar sungguh-sungguh yer sayang. Ilmu harta yang tak ternilai dan yang akan kekal tinggal dengan kita. Kehidupan akan datang semakin mencabar anakku. InsyaAllah, dengan ilmu dan iman yang kukuh didada, kamu semua mampu mengharungi kehidupan yang payah ini. Oh ya, dalam menuntut ilmu, jangan lupa adab berguru. Hormatilah guru-gurumu sayang. Mereka umpama ibu dan ayah di sekolah. Hormati guru selayaknya dia dihormati. Turut arahannya selain daripada arahan yang bertentangan dengan agama. Kelak, ilmu yang kamu timba, berkat hendaknya.
Sayangku Farid Imran

Seterusnya, membesarlah dengan sihat dan cergasnya. Buat kata orang, membesar sebagai juara. Asal kejadian pun kita adalah juara. Ingat tujuan asal manusia diciptakan. Apa yer? Untuk beribadah kepada Allah. Perbetulkan niat setiap hari. Apa yang kita buat, niatkan sebagai ibadah dan hanya untuk Allah. Insya Allah, apa yang kita buat, Allah pandu dan permudahkan. Ada doa yang diajar Nabi buat puterinya Fatimah;

"Wahai Tuhan yang Maha Hidup, Wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, Dengan rahmatMu aku memohon pertolongan, Perbaikilah untukku urusanku semuanya, dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata".

Akhir kata dari mak long, marilah kita bersama-sama menghidupkan semula nilai-nilai murni ajaran Islam dalam kehidupan. Kamu semua WARIS MASA HADAPAN. Kami semua bakal meninggalkan dunia dan menyerahkan bumi ini untuk ditadbir oleh generasi kalian. Tadbirlah ia dengan ajaran Islam, ikut undang-undang Allah yang tak lekang dek zaman dan sentiasa relevan seiring dengan peredaran masa.

Pesanan ini ditujukan kepada kalian, namun, motif utamanya lebih kepada menegur diri mak long sendiri, yang sentiasa terkhilaf dalam perbuatan seharian.



Mak Long Deela.